Tajuk : Perbandingan Hubungan Perkataan dengan Makna Untuk Aspek Kata Hubung Pancangan Keterangan ‘Kalau/if’ dalam Berita (1)Yunus Mendobi Guna Tulang Empat Kerat/ The Life Of Yunus The Dhobi Man Oleh Shahrullizan Rusli, Berita (2) ICT Beri Peluang Pendidikan Anak Luar Bandar /Higher Education Chance For Rural Children Oleh Melati Mohd Ariff, dan Berita (3) Menjadi Sukarelawan Satu Kepuasan?/ Does Volunteer Work Provide Satisfaction? Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar.
Ahli Kumpulan :
Mohd Khusairi Bin Khadzaai (12)
Norazri Bin Ismail (14)
Nur Liyana Bt Kamarudin (16)
1.0 Pendahuluan
Kertas ini akan membincangkan penggunaan suatu leksikal dan hubungannya dengan salah satu aspek semantik iaitu sinonim berdasarkan data daripada ketiga-tiga rencana berita di atas. Berdasarkan carian pada laman PRPM@DPB, sinonim merupakan kata yg sama atau hampir sama maknanya dgn kata lain, kata seerti; bersinonim mempunyai kata-kata yg sama atau hampir sama maknanya. Takrifan ini diperkuatkan lagi oleh S. Nathesan, dalam buku ‘Makna dalam Bahasa Melayu’ (2001:3). Menurutnya,
“sinonim pada umumnya difahami sebagai kata yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama dengan kata lain. Contohnya, kata ayah bersinonim dengan bapa, kata ibu bersinonim dengan emak. Kata-kata ini dikatakan sebagai kata-kata yang bersinonim”.
Penggunaan sesuatu leksikal itu akan dilihat dari sudut intrabahasa dan juga interbahasa. Dalam intrabahasa, kami mengkaji aspek makna yang didukung oleh kata itu, manakala bagi interbahasa akan melehat penggunaannya dengan bahasa Inggeris. Oleh itu, leksikal yang dipilih ialah kata hubung pancangan keterangan “kalau”. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (2004: 237), kata hubung pancangan tergolong dalam kata tugas di bawah jenis kata praklausa. Penggunaan leksikal “kalau” lebih merujuk kata hubung pancangan keterangan. Perkataan yang sinonim dengan leksikal “ kalau” merangkumi “jika”, “seandainya”, “sekiranya”, “misalnya”.
2.0 Tujuan
Tugasan ini bertujuan untuk memperlihat dan menganalisis penggunaan dan hubungan dari aspek sinonim sesuatu leksikal dalam penulisan rencana berita. Analisis lebih berfokus kepada penggunaan dari aspek kata yang bersinonim dengan perkataan yang dikaji. Selain itu, kami turut mengemukakan kekerapan dan peratusan perkataan tersebut dari segi penggunaannya dalam ketiga-tiga rencana berita. Bagi tugasan ini kami memilih leksikal ‘kalau’ kerana:
i) leksikal ini wujud dalam ketiga-tiga rencana berita yang kami pilih.
ii) memperlihatkan hubungan persamaan fungsi kata hubung bagi leksikal yang bersinonim dengannya.
iii) penggunaannya sebagai kata hubung mengikut susunan kata dalam bahasa Inggeris (wujud/tidak).
3.0 Kaedah
Bagi menjalankan kajian ini, kami telah menggunakan pelbagai perisian Microsoft Office Word, dan Excel. Penggunaan Microsoft Office Word hanya bertujuan untuk menyediakan laporan kajian, manakala Microsoft Office Excel pula memudahkan analisis penggunaan kata dari segi kekerapan penggunaan dan bilangan leksikal dalam setiap berita yang dianalisis. Selain itu, kami juga menganalisis data dengan menggunakan perisian korpus konkordan TextSTAT.
4.0 Dapatan Analisis
Kehadiran kata tugas dalam ayat tidak berfungsi sebagai unsur inti dalam sebarang predikat. Kata tugas ini ialah sejenis perkataan yang hadir dalam ayat, klausa atau frasa untuk mendukung sesuatu tugas sintaksis tertentu, sama ada sebagai penghubung, penerang, penentu, penguat, pendepan, pembantu, penegas, penafi, pembenar, pemeri atau tugas-tugas lain. Secara umumnya, kata tugas terbahagi kepada 16 jenis dan dikelompokkan kepada 4 kelompok iaitu kata penyambung ayat, kata praklausa, kata prafrasa dan kata pascafrasa (2004 : 237-238).
Leksikal “kalau” yang dipilih dalam tugasan kami ini tergolong dalam kelompok kata hubung pancangan keterangan. Di mana secara ringkasnya, berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada satu klausa utama (Nik Safiah Karim et al.; 241). Secara umumnya, kata yang bersinonim dengan leksikal “kalau” ini adalah jika, jikalau, seandainya, sekiranya dan misalnya (PRPM@DBP; 18 Jan 2009). Namun demikian, di dalam ketiga-tiga berita ini, didapati bahawa kata yang bersinonim dengan “kalau” dan turut digunakan dalam berita tersebut hanyalah “jika” dan “sekiranya" sahaja.
Hasil analisis yang telah kami lakukan untuk tugasan ini, kami mendapati bahawa penggunaan kata “kalau” serta yang bersinonim dengan leksikal tersebut adalah seperti berikut :
Di dalam berita (1), daripada sejumlah 305 leksikal yang terdapat dalam rencana tersebut, penggunaan kata “kalau” hanyalah 1 sahaja iaitu 0.33% sahaja. Begitu juga halnya di dalam berita (3). Di mana, daripada 361 patah perkataan, hanya 1 sahaja penggunaan kata “kalau” itu iaitu 0.27% sahaja. Sebaliknya, bagi berita (2), tiada penggunaan kata tugas “kalau”.
Seterusnya, penggunaan kata “jika” yang bersinonim dengan “kalau” di dalam berita (2) dan (3) masing-masing adalah 1 sahaja. Di mana bagi berita (2) peratusan penggunaan kata “jika” hanyalah 0.17%, manakala berita (3) pula adalah 0.27%. Didapati dalam berita (1), tiada penggunaan leksikal “jika” ini. Bagi penggunaan kata bersinonim “sekiranya” pula adalah sama seperti penggunaan leksikal “jika” di mana, tidak terdapat penggunaan kata “sekiranya di dalam berita (1) dan hanya 1 sahaja digunakan di dalam berita (2) dan (3). Peratusan penggunaan leksikal tersebut dalam berita (2) adalah 0.17% dan 0.27% pula bagi penggunaannya di dalam berita (3). Seterusnya, kami membuat perbandingan penggunaan kata “kalau” dalam Bahasa Inggeris. Di dalam Bahasa Inggeris, kata “kalau” menjadi “if” dan leksikal “if” ini turut tergolong dalam kata tugas atau disebut juga sebagai conjunction(conj.) dalam tatabahasa bahasa Inggeris. Setelah merujuk kepada Kamus Online Dewan Bahasa dan Pustaka, kami mendapati bahawa kata “if” dalam bahasa Inggeris tidak mempunyai kata lain yang bersinonim dengannya. Oleh itu, kami hanya membandingkan “if” sahaja. Oleh itu, kami melihat pula penggunaan kata “if” di dalam berita (1), (2) dan (3) yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Penggunaan kata “if” dalam berita (1), dan (2) menunjukkan aturan atau susunan kata yang betul. Kata hubung ini digunakan selari dengan makna ayat dalam bahasa Melayu. Namun bagi data dalam berita (3), leksikal “kalau” tidak diterjemahkan sebagai kata ‘if’. Hal ini kerana ayat tersebut diubah dari segi strukturnya tetapi masih mendukung makna yang hampir sama dalam ayat. Sebaliknya, kata hubung pancangan keterangan “sekiranya” yang bersinonim dengan “kalau” diterjemahkan sebagai “if” dalam berita versi inggeris. Peratusan kekerapan penggunaan kata hubung “if” adalah sama dengan analisis bagi kata hubung “kalau” seperti yang dinyatakan sebelum ini.
5.0 Penutup / Kesimpulan
Secara kesimpulan, leksikal “kalau” ini terdapat persamaan dari segi konteks pengunaannya dalam ayat. Peratusan penggunaan kata hubung “kalau/if” dalam ketiga-tiga berita yang dikaji didapati bahawa peratusan pengunaannya tidaklah begitu tinggi berbanding pengunaan kata hubung yang lain seperti “dan”, “yang”, “atau” dan sebagainya.
6.0 Rujukan
Nik Safiah Karim et.al. 2004. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
S.Nathesan, 2001. Makna Dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Laman Web :
PPRM@DBP, 18 Januari 2009. Sinonim. Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. http://prpm.dbp.gov.my/carian.aspx?cari=sinonim&domain=PRPM
PPRM@DBP, 18 Januari 2009. Sinonim-Kalau. Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. http://prpm.dbp.gov.my/carian.aspx?cari=kalau&domain=PRPM
0 comments:
Post a Comment